NEW YORK 2 Mac – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak usul Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf penjajahan Israel ke atas wilayah Bukit Golan.
Press TV memetik wakil khas PBB ke Syria, Geir O. Pedersen berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) secara jelas mengetahui Bukit Golan terletak dalam wilayah Syria.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada persoalan berhubung rang undang-undang yang dikemukakan oleh anggota parti Republikan dalam Kongres yang ingin mengiktiraf usaha Israel menjadikan Bukit Golan sebagai wilayah baharu rejim Zionis itu.
Rang undang-undang itu diusulkan oleh Senator Ted Cruz dan Tom Cotton, termasuk anggota Kongres, Mike Gallagher.
Ketiga-tiga ahli politik itu memaklumkan mereka mengusulkan rang undang-undang berkenaan kerana bimbang ancaman keselamatan dari Iran.
Rejim Zionis sudah sekian lama mendesak supaya AS mengiktiraf usaha mereka menjajah Bukit Golan yang dirampas dari Syria pada 1967.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini membincangkan isu tersebut secara terbuka dengan Presiden Donald Trump dan Timbalannya, Mike Pence ketika mengadakan lawatan ke White House pada 2017.
Selain itu, Netanyahu juga menggunakan alasan bahawa kehadiran kumpulan militan Iran dan pergerakan Hezbollah di Syria bagi meyakinkan pemimpin AS untuk menyokong mereka merampas Bukit Golan.
Bagaimanapun, Perhimpunan Agung PBB secara sebulat suara mengundi resolusi yang mengekalkan kedaulatan Syria terhadap kesemua sumber semula jadi di Bukit Golan termasuk tanah, air dan tenaga di wilayah terbabit.
Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 17 penduduk Palestin cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan tentera Israel ke atas penunjuk penunjuk perasaan di sempadan Semenanjung Gaza-Israel semalam. – AGENSI











