GEORGE TOWN 1 Mac – Kerajaan Pulau Pinang menjangkakan jumlah syarikat yang memperoleh pensijilan halal di negeri itu meningkat 20 peratus tahun ini berikutan perkembangan memberangsangkan industri halal.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri (amp) Industri Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Halim Hussain berkata dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lalu, sebanyak 1,112 syarikat menerima pengiktirafan halal.
“Ia diharap akan terus meningkat kerana industri halal sememangnya sebuah industri yang kian pesat dan ini dibuktikan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM750 juta bagi fasa pertama dan kedua Taman Industri Halal Pulau Pinang (pada 2018),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan dan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) ke-10 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Menurutnya PIHEC kali ini merupakan antara inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi pemahaman dalam kalangan pemain industri halal di Pulau Pinang berkenaan ekonomi digital, sekali gus merangsang penglibatan mereka dalam teknologi itu.
Sementara itu, penganjur bersama PIHEC, Ketua Pegawai Eksekutif Confexhub Group Paul Yeo berkata persidangan tersebut akan memberi pendedahan kepada pemain industri mengenai pengaplikasian teknologi halal ‘Blockchain’ dalam sesebuah industri.
“Peserta dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai impak dan penggunaan teknologi tersebut yang dilihat dapat meningkatkan lagi ketelusan dalam sesebuah rantaian bekalan yang sekali gus meningkatkan lagi keyakinan pengguna terhadap jenama halal,” katanya.
PIHEC kali ini bertemakan Pendigitalan (amp) Industri Halal membawa satu pembaharuan dalam paparan struktur binaan pameran dan pavilion, produk dan perkhidmatan serta seminar perniagaan dan industri.
Berlangsung sehingga Ahad ini di SPICE Center di sini, pameran PIHEC dijangka menerima 50,000 pengunjung.
Pameran dan persidangan tersebut turut disertai pempamer antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Jepun selain kunjungan delegasi industri dan perdagangan Thailand, Taiwan dan Dubai. – BERNAMA










