Menyanyi percuma, masa membalas jasa – Rahimah Rahim - Utusan Malaysia

Menyanyi percuma, masa membalas jasa – Rahimah Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA dekad bergelar penyanyi yang disegani ramai, anak seni kelahiran Singapura, Rahimah Rahim terus terpahat di hati peminat sehingga sekarang biarpun revolusi muzik bertukar mengikut era.

Fenome­na lagu Gadis dan Bunga yang pernah menjadi siulan anak-anak muda pada 80-an telah mengangkat namanya sebaris nama-nama artis legenda dan popular tanah air.

Meniti usia 63 tahun, wanita ini berasakan sudah tiba masanya untuk dia membalas semua sokongan peminatnya dengan sebuah kebajikan yang cukup bermakna sepanjang puluhan tahun bergelumang dalam industri seni.

Menerusi konsert solo My Life, My Art yang akan diadakan pada 13 April ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rahimah Rahim yang juga dipanggil Girl dalam kalangan sahabat dan ahli keluarga, membuat keputusan tidak mengambil sebarang bayaran atas nama kebajikan.

Kesanggupan Rahimah menolak bayaran bagi menghargai penat lelahnya menyanyi adalah satu sikap terpuji sementelah dia sendiri mencari rezeki dalam bidang ini.

RAHIMAH RAHIM

Berpegang kepada janji dan niat, Rahimah mahu semua hasil jualan tiket diserahkan kepada tabung Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Perlis.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi semula kepada masyarakat yang selama ini tidak pernah letih menyokong karier saya.

“Memang penganjur ada tawarkan bayaran pada awalnya, namun saya menolak kerana mahu menghiburkan peminat dengan ikhlas tanpa perlu dibayar.

“Lagi pula tujuan utama konsert ini diadakan adalah untuk mengumpul dana membantu Persatuan Pandu Puteri Malaysia negeri Perlis. Elok rasanya saya tidak mengambil sebarang bayaran.

“Pada saya wang bukanlah segala-galanya. Pada usia begini, saya bersyukur dikurniakan rezeki yang tidak pernah putus. Andai sumbangan kecil saya dapat gembirakan orang lain, kenapa saya tidak teruskan niat itu?” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar konsert tersebut di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Enggan berbicara soal peribadi, Rahimah hanya mahu memberi fokus kepada kerjaya seninya terutama konsert yang bakal berlangsung sebulan lagi.

Katanya, konsert itu juga merupakan kesinambungan persembahan solonya yang pernah diadakan di negara kelahirannya pada November 2017.

Masih mengekalkan konsep mengimbau kembali awal kegemilangannya yang sudah mula terlibat dalam dunia nyanyian sejak kecil lagi.

Malah, dia teruja untuk membuai khayalan peminat dengan himpunan lebih 20 buah lagu dalam durasi masa selama satu jam setengah.

“Konsert ini akan memaparkan tentang perjalanan saya sebagai anak seni.

“Bermula sebagai seorang penyanyi kelab malam pada era-70an, menjadi artis rakaman dan seterusnya berjaya mengukuhkan nama di Malaysia.

“Saya seorang yang gemar berkomunikasi menerusi lagu. Pada masa sama saya dapat mendekati penonton yang hadir dengan lebih rapat.

“Selama satu jam setengah saya harap peminat tidak jemu, malah terhibur dengan tayangan video yang akan dipaparkan di layar skrin,” ulas Rahimah yang popular dengan barisan lagu seperti Hati Yang Rapuh, Doa dan Masihkah Ada Cinta.

Konsert anjuran Giant Steps Event & Entertainment itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi Khai Bahar dan adiknya sendiri, Rodzie Rahim dengan iringan 30 pemuzik orkestra yang diketuai oleh Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.

Tiket dijual pada harga antara RM150 hingga RM350. Mereka yang berminat ke konsert tersebut boleh menghubungi talian 019-2409727 (Ruby) dan 017-6804495 (Zaty) bagi sebarang maklumat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN