KUALA LUMPUR 1 Mac – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah dan Tadika Bersama Fraser & Neave Holding Bhd. (F&N) yang akan bermula pada 1 Mac sehingga 30 Ogos ini.
MBPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, program kali kedua itu bertujuan memupuk kecintaan dan meneruskan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak.
“Menerusi program ini, MBPJ menjangkakan peningkatan penyertaan sekolah dan tadika di Petaling Jaya pada tahun ini berbanding tahun lalu.
“Majlis juga berharap tempoh enam bulan itu dapat dimanfaatkan oleh sekolah dan tadika untuk mengumpul barang kitar semula seperti kertas, plastik, tin aluminium, bekas kotak minuman, barangan elektronik dan polisterina yang merupakan kategori baru diperkenalkan pada tahun ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, F&N selaku penaja yang menyokong usaha penjagaan alam sekitar juga berperanan membantu MBPJ dalam memberi pendidikan dan pendedahan mengenai penjagaan alam sekitar dan kitar semula.
“Mereka telah menyumbangkan dana sebanyak RM22,560 bagi tujuan menganjurkan pertandingan ini. Majlis juga memperuntukkan dana sebanyak RM1,200 sebagai insentif tambahan untuk kategori polisterina,” katanya.
MBPJ berharap pelancaran program itu akan mendapat penyertaan dan sambutan yang tinggi daripada pihak pengurusan tadika dan sekolah-sekolah di Petaling Jaya.
“Program ini turut mendapat kerjasama penuh daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama dan Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi urusetia program iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ di talian 03-7954 1440 atau layari laman sosial atau laman sesawang www.mbpj.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE










