LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui rentak kemenangan yang dipamerkan oleh pasukan itu menjadi isyarat jelas buat para pencabar mereka bahawa tiada siapa yang boleh menghalang The Reds dalam mengejar kejuaraan Liga Perdana England (EPL) selepas menundukkan Burnley 4-2 di Anfield awal pagi semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan mereka terus merapatkan jurang dengan perbezaan satu mata berbanding pasukan pendahulu Manchester City meskipun skuad kendalian Pep Guardiola berjaya menundukkan Watford 3-1.
“Saya boleh katakan kami masih teruja untuk berentap merebut kejuaraan liga musim ini.
“Berdasarkan kemenangan ini, mesej yang jelas cuba disampaikan The Reds adalah tiada siapa yang boleh menyingkirkan kami daripada perebutan gelaran kejua–raan liga jika Liverpool terus mempamerkan persembahan seperti berdepan Burnley.
“Kami tiada masalah berkenaan keyakinan pasukan meskipun The Reds seri tanpa jaringan ketika bertemu Everton sebelum ini.
“Media mengatakan kami hebat apabila mampu menyumbat lima gol, namun selepas seri mereka juga yang mengatakan Liverpool mempunyai masalah.
“Pada masa sama, saya perlu menegaskan Mohamed Salah masih penting dalam pasukan meskipun penyerang tersebut tidak menjaringkan gol kali ini,” kata Klopp.
Dalam aksi tersebut, pasukan tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan Ashley Westwood sebelum The Reds melakukan kebangkitan menerusi dua jaringan daripada Roberto Firmino dan Sadio Mane sementara gol kedua Burnley terhasil menerusi sentuhan Johann Gudmundsson pada lewat permainan. – Agensi











