KUALA LUMPUR 29 Mac – Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang tergelincir ketika hendak membasuh kaki di sebuah loji di Jalan Miri-Bintulu, Lambir Sarawak ditemukan lemas hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa bernama Hairil Iskandar dan berasal dari Kampung Lambir, Sarawak.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan pada pukul 12.16 tengah hari tadi dan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dan Lopeng dikerah ke tempat kejadian.
“Kami telah mencari pada jarak 10 ke 15 kaki di kawasan loji berkenaan sebelum 11 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Miri datang untuk membantu proses pencarian.
“Usaha pencarian akhirnya menemukan mangsa pada pukul 2.54 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jelasnya, tiga saksi kejadian yang juga rakan mangsa memberitahu, mangsa pada mulanya mahu mencuci kaki sebelum tergelincir ke dalam loji.
Tambahnya, selepas itu mereka cuba menyelamatkan mangsa dengan mencampak tali namun gagal. – UTUSAN ONLINE











