KULIM – Seorang pemandu bas maut selepas dipukul dengan menggunakan topi keledar oleh rakannya sendiri dalam satu pergaduhan di sebuah restoran di pekan Kulim di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, dalam kejadian sekitar pukul 1.30 pagi itu, mangsa, N Thirumurugan, 30, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim selepas bertengkar dengan rakan lelakinya berusia 41 tahun.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu sedang minum minuman keras di restoran terbabit sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.
“Sewaktu pergaduhan, suspek dipercayai telah memukul mangsa dengan menggunakan topi keledar sehingga mendatangkan kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Mior Faridalthrash, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua lelaki tersebut ditemui dalam keadaan terbaring di bahu jalan dan mangsa kemudiannya meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Kulim.
“Suspek yang juga cedera telah menerima tiga hingga empat jahitan di belakang kepala,” katanya.
Mior Faridalthrash berkata, pihaknya turut merampas topi keledar yang digunakan untuk menyerang mangsa dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE










