KUALA LUMPUR 1 Mac – Malaysia dan China bakal mengembangkan lebih banyak peluang perniagaan khususnya berlandaskan teknologi, kepakaran industri digital serta makanan dan minuman.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ini bakal terlaksana selepas beliau mengadakan lawatan kerja ke Shanghai dan Huangzhou baru-baru ini.
“Beberapa program telah dirancang termasuk membantu mempromosikan jenama francais Malaysia dengan pembukaan outlet Tealive di Sun Moonlight Centre, Shanghai.
“Tealive juga telah merancang membuka 500 cawangan di China dalam jangka masa tiga tahun melalui pelan perniagaan strategik dan tersusun dengan kerjasama syarikat tempatan China iaitu Zhejiang Boduo International Trade dan Shanghai Panfei International Trade,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, semasa sesi dialog China Cooperative Trade Enterprise Association (CCTEA) mempelawa usahawan Malaysia menyertai program Imported Food Exhibition Centre di Shanghai.
“Ini merupakan salah satu platform untuk syarikat di negara ini menembusi pasaran China dengan lebih meluas.
“Ketika sesi dialog turut diadakan memorandum persefahaman (MoU) di antara syarikat Sunshine Wholesale Mart Sdn. Bhd daripada Malaysia dengan CCTEA bagi tujuan penembusan jenama-jenama Malaysia ke outlet gabungan CCTEA di China,” katanya.
Tambah Saifuddin, beliau berharap agar lawatan kerja tersebut dapat membantu mempromosikan jenama Malaysia di China. – UTUSAN ONLINE










