IPOH 26 Mac – Malaysia memilih laluan sukar untuk melangkah ke final hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas tumpas 2-4 kepada India di sini, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyebabkan anak-anak buah Roelant Oltmans jatuh ke tangga ketiga di belakang Korea Selatan, yang merampas kedudukan pendahulu dengan mengalahkan Poland 3-2.
Juara Asia, India pula melonjak ke tangga kedua dengan mencatat kemenangan kedua daripada tiga perlawanan.
Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini hari ini, India mendahului seawal minit ke-17 menerusi jaringan Sumit, namun Muhammad Razie Rahim menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-21.
India kembali di depan menerusi Sumit Kumar pada minit ke-27 sebelum menjadikan kedudukan 3-1 hasil jaringan Varun Kumar, minit ke-36.
Biarpun Firhan Ashaari cuba membantu kebangkitan Malaysia dengan merapatkan jurang 3-2 pada minit ke-57, namun jaringan Mandeep Singh seminit kemudian melenyapkan harapan pasukan negara.
Pasukan negara kini akan menentang Korea Selatan esok, sebelum bertemu Kanada pada Jumaat. – UTUSAN ONLINE











