KUALA LUMPUR 28 Mac – Koperasi Komuniti Selatan Berhad (KKSB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ritz Guarana Plantation Berhad untuk menjadi pengedar tunggal biji benih tanaman guarana di seluruh negeri Johor.
Menerusi memorandum itu, KKSB membeli sebanyak 12 tan biji benih guarana daripada syarikat tersebut dengan kos bernilai RM60 juta, sekali gus memberi hak kepada koperasi berkenaan menjadi pengedar benih semaian tanaman guarana.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Besar KKSB, Andrew Ling yang memberitahu, sebagai koperasi yang bertanggungjawab menjana keuntungan kepada ahlinya, mereka memilih guarana kerana melihatnya sebagai tanaman kontan alternatif menguntungkan.
Beliau juga percaya, guarana bukan sahaja berpotensi meningkatkan ekonomi ahli-ahli koperasi malah turut membantu pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagi KKSB, keputusan ini dibuat demi ahli-ahlinya dan rakyat negeri Johor. Dalam masa sama juga, ia dapat membantu petani-petani mendapatkan pendapatan yang lebih berpotensi keuntungan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guarana atau nama saintifiknya ‘Paulinia Cupana’ merupakan tanaman dari Brazil dan mempunyai 10 spesis keseluruhannya.
Melalui kajian yang dilakukan oleh kerajaan Brazil, tanaman guarana ini telah berjaya menghasilkan pelbagai produk seperti minuman berkarbonat, ais krim, kopi dan ekstrak buah guarana yang mendatangkan pendapatan.
Sebagai rekod, syarikat Ritz Corporate Holding Berhad merupakan syarikat tunggal di negara ini yang berjaya mendapat permit selepas membuat permohonan untuk membawa masuk biji benih guarana bagi tujuan pembangunan tanaman itu di Malaysia. – UTUSAN ONLINE











