BUKIT MERTAJAM 27 Mac – Sebuah kilang menghasilkan barangan kelengkapan troli yang terletak di Bukit Tengah dekat sini, menjadi kelam-kabut selepas premis itu diserbu sekumpulan anggota Jabatan Imigresen negeri petang semalam.
Malah, melihat kehadiran pihak berkuasa memasuki kilang itu juga, ada pekerja yang cuba melarikan diri tetapi gagal berbuat demikian kerana tidak boleh menghentikan mesin yang sedang beroperasi.
Akibatnya, seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 58 pekerja warga asing di kilang berkenaan.
Menurut Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Izham Idris, majoriti pekerja asing yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas yang sah selain melanggar syarat-syarat pas yang diberikan.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang wanita Indonesia; tujuh lelaki Bangladesh; enam lelaki dan empat wanita Myanmar serta tiga lelaki India.
“SIasatan awal mendapati modus operandi kilang terbabit adalah mencampurkan pekerja asing yang mempunyai permit dengan yang tiada dokumen atau permit yang sah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pihak pengurusan kilang sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan memberikan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.
Katanya, menggajikan pekerja asing tidak menjadi kesalahan tetapi wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan.
“Siasatan lanjut ke atas kilang terbabit sedang giat dijalankan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE











