Ketua balai polis, pegawai bomba didakwa terima rasuah rumah urut - Utusan Malaysia

Ketua balai polis, pegawai bomba didakwa terima rasuah rumah urut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Ketua Balai Polis Kajang dan seorang pegawai bomba dan penyelamat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima suapan daripada pengusaha sebuah rumah urut, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Inspektor Mohd. Alfian Mohd. Zainal, 34, dan Shah Kamil Ghani, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mohd. Alfian didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM1,000 daripada Wong Chee Keong tanpa sebarang balasan yang mana berkaitan jawatan tertuduh yang mengawal selia setiap operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh balai berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan tersebut dilakukan di Balai Polis Kajang pada 27 September dan 25 Oktober 2016.

Justeru, bapa kepada empat orang anak itu boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika di sabit kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, Shah Kamil yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah, Shah Kamil Ghani, 35, berdepan tiga pertuduhan bersetuju dan telah menerima sebanyak RM1, 000 
sebagai dorongan untuk mendapatkan surat permohonan sokongan lesen perniagaan syarikat JJ Harmony Spa daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kesemua kesalahan itu dilakukan di BBP Pandan Indah, Hulu Langat dan  di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik Perdana, Semenyih antara 30 Mac hingga 1 April 2016.

Justeru, Shah Kamil didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika.

Pegawai Pendakwa SPRM, Michael Joimin memohon kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun, Rofiah menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan kepada Mohd. Alfian, manakala, Shah Kamil, RM7,000 setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan Shah Kamil menyerahkan passportnya dan menetapkan 29 April dan 30 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Dalam pada itu, pada prosiding sama, Rofiah turut mengeluarkan waran tangkap kepada seorang lagi tertuduh iaitu, Shah Rizal Ismail Basha, 40, yang juga seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana gagal hadir pada prosiding berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini