Bukan mudah untuk menawan hati si cantik Nadia Brian. Usaha kali pertama Mu’izz Nasruddin untuk mendekati pelakon ini ternyata tidak berhasil.
Namun, jejaka yang bertugas sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat teknologi terkenal ini tidak menjadikan sikap acuh tidak acuh Nadia sebagai perkara yang menghalangnya untuk cuba menawan hati pelakon tersebut.
Akhirnya berkat kesabaran serta kesungguhan jejaka tersebut membuahkan hasil apabila Nadia membuka hatinya kepada Mu’izz.
Bermula Oktober tahun lalu, hanya dalam masa tiga bulan hubungan mereka menjadi semakin serius lebih-lebih lagi apabila Nadia dirisik oleh keluarga Mu’izz.
Kini kasih sayang pasangan ini sudah mencecah enam bulan.
Ketika ditemuramah HITS pada pertengahan Februari lalu, Nadia yang datang ke sesi fotografi bersama Mu’izz pantas berkongsi cerita cinta mereka.
Lamaran di kota cinta
Hubungan cinta mereka semakin berkembang mekar apabila Nadia berkesempatan bercuti bersama keluarga besar Mu’izz di Eropah pada 31 Januari hingga 15 Februari lalu.
Di sana, mereka sempat melawat banyak tempat menarik di kota London dan Paris.
Kota cinta Paris menjadi saksi keutuhan hati Mu’izz kepada Nadia apabila lelaki tersebut melamarnya dalam suasana penuh romantis berlatar belakangkan Menara Eiffel.
“Saya pun tidak pernah menyangka akan dilamar dalam suasana yang penuh romantis di kota cinta ini bersaksikan ramai orang dan para pelancong. Rasa macam mimpi sahaja.

“Biasanya dalam drama atau filem selalu ada babak seperti itu, tak sangka pula berlaku dalam kehidupan sebenar saya. Angan-angan saya menjadi kenyataan!
“Saya bersyukur didatangi lelaki yang begitu sabar dan bersungguh-sungguh mencintai dan menghargai saya. Mana-mana wanita pun tidak akan menolak lelaki yang sanggup lakukan apa sahaja untuk melihat orang dicintainya gembira.
“Apa yang saya harapkan, perancangan kami untuk berkahwin dan melayari bahtera rumah tangga bersama-sama dipermudahkan,” kata Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi.
Kata Nadia, tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk jatuh cinta dengan Mu’zz yang dianggapnya sebagai kawan biasa sebelum ini.
Namun, cinta itu datang tanpa diduga.
Mu’izz sendiri mengaku bukan senang pada mulanya untuk memikat Nadia yang sangat komited dengan kerjaya.
“Sebagai lelaki, sudah tentu saya yang mulakan hubungan ini. Saya sekadar mengikut kata hati. Dalam diri ini kuat mengatakan dialah wanita yang saya cari selama ini.
“Memang kedengaran klise. Tapi apabila niat untuk mencari teman hidup itu dipermudahkan-Nya, itu yang buat saya percaya dia adalah orangnya.
“Saya tidak pernah berputus asa untuk memikat Nadia. Syukur dia menerima cinta saya dan kami bakal bertunang dan berkahwin,” kata Mu’izz.
Mu’izz pada mulanya mengenali Nadia menerusi seorang rakan dan langsung tidak mengetahui gadis tersebut seorang pelakon.
“Dari situ saya cuba memikatnya dengan menghantar mesej peribadi dalam laman sosial. Dalam mengharap Nadia membalas mesej itu, namun dia terlalu sibuk dengan penggambaran.
“Kemudian saya tidak mengejarnya lagi sehingga kami bertemu dalam satu perjumpaan yang berkaitan bisnes. Bermula dari situ kami bertukar nombor telefon dan mula berhubung melalui WhatsApp.
“Dalam tiga bulan kami kenal dan bercinta, saya terus bawa keluarga merisik Nadia kerana saya serius untuk menjadikannya sebagai isteri. Saya tidak mahu buang masa atau mensia-siakan hubungan yang sudah terjalin ini.
“Alhamdulillah… hubungan saya dan kedua-dua belah keluarga semakin erat dan apa yang penting mereka merestui hubungan kami. Peluang bercuti di Eropah adalah saat-saat indah untuk keluarga saya lebih mengenal Nadia.
“Paling istimewa sudah tentu saat saya melamar Nadia di Paris berlatar belakangkan Menara Eiffel,” kata Mu’izz.
Pasangan ini dijangka bertunang awal Mei ini di kediaman Nadia di Puchong, Selangor dan berkahwin pada November ini atau Januari tahun hadapan.
Tidak kuat cemburu
Selain sikap sabar serta kesungguhan Mu’izz, Nadia juga selesa dengan keperibadian lelaki itu.
“Bukan mudah sebenarnya untuk orang luar industri memahami kerjaya serta selok belok perjalanan industri lakonan. Kalau tidak faham, memang sukar meneruskan hubungan cinta.
“Saya bertuah kerana Mu’izz bukan seorang yang kuat cemburu. Dia faham apabila saya rapat dengan mana-mana pelakon lelaki. Iyalah… kemesraan yang terjalin hanya sebahagian daripada tuntutan kerja dan tidak terbawa-bawa sampai ke luar lokasi.

“Saya juga pernah membawanya ke lokasi penggambaran kerana mahu dia lihat sendiri situasi saya sebagai pelakon. Itu antara cara saya untuk membina kepercayaan antara kami. Saya tidak boleh berharap dia faham sepanjang masa kerana saya perlu memainkan peranan penting untuk menjaga hatinya,” kata Nadia.
Nadia juga tertarik dengan perangai Mu’izz yang membuatkan dia boleh menjadi diri sendiri tanpa berlakon baik di hadapannya.
“Apabila bersamanya, saya tak perlu berpura-pura dan bebas untuk melakukan apa sahaja. Keadaan itu membuatkan saya lebih selesa untuk terus berada di sisi Mu’izz.
“Sikap telus dia menjadikan saya lebih yakin bahawa Mu’izz adalah calon ketua keluarga yang harus dipilih. Tidak perlu tunggu lama lagi dalam penantian mencari jodoh,” kata Nadia yang pernah berlakon menerusi Akulah Balqis, My Sweet Lavender, Dendam Aurora, Rahasia Kasih, Mocha Kau Bahagia 2 dan Sape Dari Itali.
Sedia terima tempias kontroversi
Sebagai persediaan untuk menjadi suami kepada Nadia, Mu’izz harus menerima segala tempias gosip atau kontroversi dalam dunia artis.
“Sudah semestinya saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan situasi sebegitu. Saya menghormati kerjaya sebagai pelakon yang menjadi tumpuan masyarakat. Sama ada kena tempias atau tidak, itu adalah perkara normal buat seseorang yang terlibat sama dalam dunia artis.
“Malah selepas berkahwin pun saya akan benarkan Nadia untuk terus berlakon dan melakukan apa yang disukainya. Sama ada mengganggu peranannya sebagai isteri atau tidak, saya yakin Nadia tahu apa yang terbaik untuk kami.
“Semuanya boleh dibawa berbincang dan saya sendiri mengambil kira banyak faktor untuk kebaikan bersama,” kata Mu’izz.










