KUALA LUMPUR 6 Mac – UMNO menjelaskan bahawa gagasan penyatuan ummah bukan inklusif kepada parti itu dan Pas tetapi turut membawa rakan gabungan lain.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti lain seperti MCA, MIC serta Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan kelab penyokong seperti Makkal Sakti, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak sama sekali ditinggalkan.
Beliau malah memberitahu, kedua-dua parti itu bersedia melakukan hubungan intensif bersama badan politik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha membawa Malaysia keluar daripada ‘politik janji’ oleh Pakatan Harapan (PH).
“Sebagai blok terbesar parti politik di Semenanjung, UMNO dan Pas akan mengambil kira keperluan dan sensitiviti rakan parti politik di Sabah dan Sarawak khususnya dalam konteks memperjuangkan kepentingan bumiputera di sana,” katanya, dipetik daripada laman Facebook rasminya hari ini.
Beliau mengulas mengenai agenda penyatuan ummah yang dimaklumkan oleh Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kerjasama itu bukan bermaksud UMNO dan Pas bergabung, sebaliknya suatu ikatan untuk menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai usaha bagi memperkukuhkan jalinan hubungan di antara sesama Melayu.
Ujarnya, pada masa sama, kepentingan kaum lain tidak dilupakan sejajar dengan konsep masyarakat majmuk di negara ini.
“Perjumpaan UMNO-Pas untuk meneroka usaha penyatuan Melayu di negara ini tanpa mengetepikan hakikat Malaysia adalah negara majmuk. Semua, termasuk dari kaum lain, diterima untuk menyokong gagasan baharu ini,” katanya.











