PUTRAJAYA 28 Mac – Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya kepada 23 April ini sama ada peguam Arunachalam Kasi bersalah atau tidak kerana menghina atas dakwaan mengkritik prosiding dan keputusan satu kes mahkamah.
Hakim Tan Sri Ramly Ali yang mengetuai panel lima hakim menangguhkan keputusan mahkamah selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak berhubung perkara itu.
“Kami akan memberi keputusan pada 23 April jam 9.30 pagi,” katanya.
Hakim yang bersidang bersama beliau ialah Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Nallini Pathmanathan.
Pada 27 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan sebelah pihak Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina terhadap Arunachalam atau lebih dikenali sebagai Arun Kasi kerana didakwa membuat kritikan berkaitan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan, Dr. Abdul Hamid Abu Backer mengenai dakwaan salah laku hakim dalam dua artikel yang disiarkan portal dalam talian Aliran pada 16 Februari dan 22 Februari 2019.
Dalam kedua-dua artikel itu, Arunachalam didakwa mengkritik perjalanan prosiding Mahkamah Persekutuan dan keputusan mahkamah pada 11 November 2018, dalam kes PCP Construction lwn Leap Modulation.
Hari ini, dalam keterangannya dari tempat duduk saksi, Arunachalam berkata beliau merujuk kepada sistem penghakiman dan bukan badan kehakiman dalam kedua-dua artikelnya.
Beliau turut menyatakan bahawa artikel yang disiarkan Aliran telah disunting kerana terdapat beberapa perenggan bukan sebahagian daripada apa yang ditulis dalam artikelnya.
Peguam Negara berhujah artikel yang ditulis Arunachalam merupakan serangan ke atas badan kehakiman dan suatu penghinaan, dan menambah, beliau (Arunachalam) telah menyindir tiga hakim Mahkamah Persekutuan dalam artikel berkenaan.
“Membaca kedua-dua artikel ini secara keseluruhan berdasarkan apa yang diperkatakannya, beliau telah melampaui batas, responden ini bersalah kerana menghina sepertimana dakwaan kami terhadapnya,” katanya.
Thomas berkata kebebasan bercakap dan bersuara mengikut Perkara 10(1)(a) adalah tidak mutlak.
Sementara itu, peguam Datuk Bastian Pius Vendargon, mewakili Arunachalam, berhujah bahawa anak guamnya terdorong untuk menulis artikel berkenaan kerana menurutnya, prosiding Mahkamah Persekutuan adalah “janggal”. – BERNAMA











