KUALA LUMPUR 15 Mac – Keputusan berat sebelah Suruhanjaya Eropah (EC) yang menyenaraikan minyak sawit sebagai bukan bahan api hijau akan menjejaskan seramai 112,635 peneroka Felda yang sudah dibebani kesan penyusutan harga minyak sawit (MSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Felda menyifatkan keputusan itu sebagai bermotifkan politik, tidak adil dan merupakan perlindungan yang bersifat diskriminasi.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya keputusan EC pada 13 Mac lepas yang menyenaraikan minyak sawit sebagai bukan bahan api hijau dan tidak harus dipromosikan kerana menyebabkan kemusnahan hutan,” kata kenyataan itu.
Malah, kenyataan itu menambah, larangan terhadap minyak sawit itu akan hanya memburukkan lagi nasib peneroka yang sudah pun terjejas akibat penyusutan harga MSM selain menjadikan mereka terperangkap dalam kemiskinan.
Kata kenyataan itu, ini berikutan keadaan golongan tersebut yang bergantung kepada pendapatan daripada hasil komoditi itu untuk menikmati kehidupan lebih baik bagi diri sendiri serta keluarga masing-masing.
Felda yang menyertai Felcra Bhd., Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, bertindak mengeluarkan deklarasi bersama meminta kerajaan melaksanakan pendekatan lebih tegas bagi menangani isu itu termasuk menggunakan saluran politik dan ekonomi untuk membantah sekatan minyak sawit oleh EU.
“Kami ingin mengulangi pendirian tegas bahawa (tindakan) perlindungan sedemikian adalah menyamai sekatan ekonomi jika EU tidak menarik balik keputusan ini demi melindungi kepentingan seramai 650,000 pekebun kecil dan tanggungan mereka,” katanya. – BERNAMA











