PITAS 1 Mac – Ketiadaan kemudahan jalan raya bagi tiga kampung di daerah ini menjadikan jambatan gantung sebagai laluan utama penduduk untuk ke pekan Pitas, yang terletak kira-kira 22 kilometer dari perkampungan mereka.
Bagi penduduk kampung Lugu, Kampung Pandan dan Kampung Kobon terdiri daripada lebih 200 penduduk, mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan jambatan gantung yang dibina merentasi Sungai Bengkoka sebagai penghubung ke kawasan lain.
Penduduk kampung, Joselyn Ugi, 42, berkata jambatan sepanjang kira-kira 250 meter dengan ketinggian 20 meter dari aras Sungai Bengkoka itu merupakan laluan utama mereka sejak sekian lama.
Beliau berkata sebelum jambatan itu dibina pada 2000, kampung didiami suku kaum Dusun Kimarang itu terpaksa menaiki perahu untuk menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain.
“Jambatan gantung itulah kami gunakan setiap hari termasuk anak-anak ke sekolah rendah selain membawa hasil tanaman untuk dijual di pekan Pitas” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jocelyn berkata meskipun jambatan itu dibina menggunakan besi dan dawai selain papan, namun ia sudah beberapa kali dibaik pulih akibat rosak ketika musim banjir.
Katanya, selain ketiadaan jalan raya, kampung yang diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera pada Oktober 2016 itu juga tidak mempunyai kemudahan bekalan air paip dan elektrik.
Bagi Juriya Masudah, 47, pula, beliau berharap supaya kampung itu akan mempunyai bekalan elektrik, air dan jalan raya bagi kemudahan penduduk.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata penduduk kampung tersebut terpaksa menggunakan air sungai sebagai keperluan harian dan keadaan akan menjadi sukar apabila tiba musim kemarau.
Malah, beliau turut berkongsi kisah apabila pernah terjadi wanita bersalin dalam perahu ketika dalam perjalanan ke klinik yang terletak di pekan Pitas.
“Sungai itu juga ‘berpenghuni’ dan penduduk kampung kini perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa buaya,” katanya.
Sementara itu, penduduk di Kampung Dandun juga menggunakan jambatan gantung yang berusia lebih 10 tahun malah kelihatan usang dan menjadi laluan kepada anak-anak ke sekolah rendah seramai kira-kira 300 pelajar setiap hari.
Hampir 2,000 penduduk di kampung berkenaan juga berharap kemudahan jalan raya dapat disediakan bagi memudahkan keluaran hasil pertanian seperti kelapa sawit, buah-buahan dan sayu-sayuran dapat dibawa ke tamu Pitas. – BERNAMA










