BUKAN situasi yang baharu apabila melihatkan ramai pelakon yang kini mencuba nasib dalam bidang nyanyian.
Apa pun yang dilakukan ia bukan sekadar untuk mengemis populariti agar terus bertahan dalam gelanggang seni.
Mahu bergelar penghibur serba boleh, begitulah rata-rata insan seni saat ditanya tentang tujuan utama mereka menceburi cabang seni yang lain.
Tidak mahu mengehadkan aliran seni kepada satu bidang sahaja, maka mengapa tidak mereka meluaskan skop dalam cabang seni yang berbeza?
Begitu yang difikirkan oleh aktor Saharul Ridzwan yang kini beralih arah bergelar penyanyi rap.
Yang pasti, apa yang dilakukan itu bukan hanya ‘tangkap muat’ atau sekadar suka-suka tetapi dia mengaku serius untuk fokus ke arah bidang tersebut.
Pertemuannya dengan komposer Ajai kira-kira setahun lalu telah membuka ruang bagi dirinya untuk menonjolkan bakat terpendam dalam seni suara pula.
“Saya seorang yang sukakan bidang penulisan. Bila datang sahaja idea, saya akan menulis berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling termasuklah pengalaman diri sendiri.
“Saya memang meminati bidang muzik, cuma saya sedar diri kalau tidak boleh menyanyi seperti penyanyi lain. Tetapi saya ada keinginan dan berkebolehan menyanyi secara rap.
“Kebetulan saya ada satu karya dan menyerahkan lirik itu kepada Ajai. Niat asal saya mahu dia memberikan kepada penyanyi lain untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Tapi lepas berbincang, Ajai sendiri menyuruh saya membawakan lagu itu. Maka, lirik itu digarap menjadi sebuah karya rap,” kongsinya.
Karya yang berjudul Buku Putih itu juga membawa rezeki buat pelakon Jangan Benci Cintaku apabila dia dilamar untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Wake The Baby Records kepunyaan Ajai.
Sementelah itu, kelana seni jejaka berketinggian 178 sentimeter yang memasuki enam tahun itu, banyak mengajar erti ketabahan dan kesabaran saat kali pertama kakinya melangkah masuk ke dalam industri seni tanah air.
Justeru, apabila bercakap soal perbandingan dan kritikan yang terpaksa dihadapi, Saharul yang mahu dikenali dengan nama pentas, SR, enggan melatah apatah lagi terus meninggi diri.
“Bila ada orang bandingkan dengan otai, rasanya itu biasalah kan? Saya anggap ia satu penghargaan.
“Pada saya bagus adanya kritikan kerana ia tidak membuatkan saya terlalu selesa dengan apa yang sedang dilakukan.
“Saya masih lagi dalam proses belajar. Setiap komen dan kritikan membina akan saya ambil untuk dijadikan panduan ke arah memperbaiki kelemahan.
“Banyak lagi yang saya kena belajar dengan Ajai terutama sekali penekanan tempo dan melodi,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single sulungnya, Buku Putih yang juga menampilkan Ajai sebagai gandingan bersama.











