KUALA LUMPUR 26 Mac – Sifat amanah, bermaruah dan jujur adalah elemen penting bagi memerangi rasuah ditempat kerja.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, mereka yang mengamalkan integriti di tempat kerja juga boleh membantu menghapuskan salah laku yang boleh mengakibatkan kemalangan pekerjaan.
“Mereka yang mengamalkan konsep tersebut akan sentiasa berkata benar, bertanggungjawab, telus, boleh dipercayai, melayani rakan sekerja, pihak berkepentingan dan pelanggan dengan rasa hormat,” katanya dalam Majlis Pra Pelancaran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-22 (COSH 2019) di sini hari ini.
Lam Thye turut menyampaikan Sijil Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHS MS) daripada NIOSH Certification Sdn. Bhd., kepada 11 syarikat dalam majlis tersebut di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut menggesa syarikat-syarikat yang telah mendapat pensijilan OHSAS 18001 dan MS 1722 untuk mendapatkan pensijilan ISO 45001 sebelum tempoh perpindahan selama tiga tahun berakhir pada 12 Mac, 2021.
“Walaupun semua pihak menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah, amat jelas sekali perjuangan tersebut harus bermula di semua tempat kerja.
“Kita tidak harus bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkannya menjadi budaya dalam masyarakat kita, terutama dalam kalangan agensi dan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP),” katanya. – UTUSAN ONLINE











