KUANTAN – Perjalanan lima sekeluarga dari Pasir Gudang, Johor untuk pulang bercuti di kampung halaman di Ajil, Terengganu bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka meninggal dunia semasa nahas jalan raya di Pekan pagi tadi.
Kejadian pukul 9.45 pagi di Kilometer 55 Jalan Pekan-Rompin itu mengorbankan suri rumah, Nor Hasidah Asbullah, 32, serta dua anaknya selepas ketiga-tiga mereka tercampak keluar dari kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu suaminya.
Turut maut di tempat kejadian dekat Kampung Badong itu ialah anak bongsunya, Muhammad Iffat Rizqi Kamaruddin, 2, dan anak sulungnya, Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8, akibat cedera parah.
Sementara itu, suami mangsa, Kamaruddin Mohd. Zin, 33, yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang serta anak mereka, Nur Syadni Syakirah, 3, masih dirawat di Hospital Rompin.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Alza dipandu Kamaruddin terbabas memasuki laluan bertentangan sejurus melepasi selekoh.
“Perodua Alza dinaiki keluarga mangsa dari arah Johor Bahru menghala ke Terengganu. Lori ais itu sedang menuju ke Rompin semasa kejadian. Keadaan jalan pula basah kerana selepas hujan.
“Selepas hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan di tempat kejadian dalam kedudukan melintang, bahagian tepi Perodua Alza itu seterusnya berlanggar dengan lori tersebut,” ujar Amran.
Beliau menambah, Nor Hasidah bersama dua anaknya tercampak keluar dari kenderaan semasa perlanggaran tersebut sebelum Perodua Alza itu terjunam memasuki parit di kanan jalan.
Dalam pada itu, pemandu serta kelindan lori yang kedua-duanya berusia 32 tahun turut dirawat di hospital sama kerana mengalami kecederaan patah tangan dan luka di kepala akibat kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan jalan raya membabitkan kematian. – K! ONLINE











