Ibu angkat dera kanak-kanak perempuan ditahan - Utusan Malaysia

Ibu angkat dera kanak-kanak perempuan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang bertindak mendera anak angkatnya dalam sebuah video yang tular di laman media sosial telah ditahan polis di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Gombak hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek wanita warga tempatan yang berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang oleh pasukan JSJ Selangor di sebuah restoran.

“Tangkapan tersebut dilakukan apabila terdapat laporan tentang sebuah video yang menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan menangis ketika didera oleh suspek yang menendangnya beberapa kali di bahagian badan mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, suspek telah berkahwin dengan bapa saudara mangsa dan mereka telah bercerai pada awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil menambah, suspek sering memukul mangsa yang berusia tujuh tahun itu kerana mahu melepaskan geram terhadap suaminya.

“Siasatan awal mendapati kejadian seperti di dalam video itu berlaku di sebuah apartmen di Batu Caves pada tahun lalu.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan suspek akan direman untuk siasatan selanjutnya,” ujarnya.

Pada hari ini, tular sebuah video yang menunjukkan seorang wanita menendang kanak-kanak perempuan di tubuhnya sambil menjerit ‘ini anak engkau kan’ yang menjadi tempatnya untuk melepaskan geram terhadap suaminya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini