KUALA LUMPUR 7 Mac – Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat menghasut ibarat mencurah garam ke atas luka orang Melayu dan umat Islam.
Malah, kenyataan Guan Eng yang juga Menteri Kewangan itu bahawa gabungan dua parti iaitu UMNO dan Pas memberi ancaman kepada orang bukan Melayu serta bukan Islam disifatkan boleh disalah tafsir masyarakat terutama golongan muda.
Walaupun Guan Eng sudah mengubah kenyataan dengan menukar frasa ‘mengisytiharkan perang’ kepada ‘menyasarkan’, namun Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid mahu Menteri Kewangan itu supaya disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
Jelas beliau, Malaysia perlu kekal harmoni tetapi kenyataan menghina atau menghasut dan kemudiannya memohon maaf serta mengubah kenyataan dilihat sebagai ‘kaedah baharu hinaan’ yang patut dihentikan.
“Sekali pun portal MalaysiaKini sudah memaklumkan bahawa Guan Eng telah mengubah frasa itu namun ianya dianggap sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Tanpa mengira kaum, rakyat akan bangun membuat laporan polis berhubung keceluparan ini.
“Sudahlah negara digemparkan dengan deretan penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW ketika ini, Guan Eng pula mencurahkan lagi garam ke atas luka dengan kenyataan memalukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Portal berita MalaysiaKini semalam memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.
Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dengan frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’.
Tambah Mohd. Fared, perang yang membawa maksud perkelahian, pergaduhan, berperang dan bertempur tidak membawa konotasi lain.
“Perang datang dengan kasar, ganas, kejam bahkan bersifat melampau dan berfungsi untuk meluaskan kuasa serta empayar. Perang tidak bersifat mesra atau membelai, jauh sekali memberi pelukan hingga terkoyak tisu lembut di badan.
“Belia ketika ini memerhati. Orang muda ketika ini disajikan dengan kebobrokan bahasa dan adab pemimpin negara. Dalam kedudukan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan juga Setiausaha Agung DAP, ia jelas satu hasutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











