GST: Dijangka selesai akhir sesi sidang Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

GST: Dijangka selesai akhir sesi sidang Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Mac – Siasatan terhadap isu tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir sesi sidang Dewan Rakyat pada 11 April depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, jawatankuasa itu sudah menjalankan lapan mesyuarat prosiding berhubung isu tersebut dengan Jabatan Audit Negara dan telah memberikan taklimat sebanyak dua kali.

Katanya, PAC meminta Jabatan Audit Negara untuk menjalankan pengauditan terperinci terhadap semua tuntutan bayaran balik GST itu bagi mengesahkan tuntutan berkenaan benar-benar berasas untuk dibayar balik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PAC juga sudah mendengar penjelasan daripada semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam isu ini termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja, Kementerian Kewangan, bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan II, Menteri Kewangan, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan berhubung kunjungan hormat Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul ke PAC hari ini.

Jelas Ronald, jawatankuasa tersebut turut memberi jaminan bahawa segala rumusan dan syor yang akan dikemukakan kepada kerajaan dalam laporan berhubung isu tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion meliputi semua aspek dan disokong dengan data daripada pengauditan Jabatan Audit Negara.

Katanya, PAC juga telah mendapatkan semua pandangan termasuk Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Akauntan Negara dalam melaksanakan mesyuarat prosiding serta menyiapkan laporan terhadap isu tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini