KUALA LUMPUR 26 Mac – Penyedia perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (Global Turbine) menandatangani perjanjian lesen kelulusan organisasi penyenggaraan (AMO) dengan pengeluar enjin Eropah, Europrop International GmbH (EPI).
Menurut Global Turbine, perjanjian itu membuka jalan kepada syarikat tersebut untuk membida aktiviti penyenggaraan enjin TP400-D6 yang digunakan di pesawat Airbus A400M.
“AMO tersebut membolehkan Global Turbine Asia untuk melaksanakan penyenggaraan tahap satu dan tahap dua (di lapangan) terhadap enjin TP400-D6, yang merupakan tahap tertinggi yang boleh dilakukan di luar bengkel pengeluar peralatan asal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang bermula hari ini sehingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi, Kedah. -UTUSAN ONLINE











