Geng remaja pecah cermin kereta tumpas - Utusan Malaysia

Geng remaja pecah cermin kereta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA – Kelicikan tiga remaja yang keluar rumah awal pagi untuk melakukan kegiatan pecah cermin kereta sewaktu pemiliknya sedang menunaikan solat subuh di surau tidak berpanjangan apabila mereka berjaya diberkas pihak polis pada 24 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, dalam kejadian sekitar pukul 6 pagi itu, satu pasukan khas dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Subang Jaya telah melakukan pemeriksaan ke atas tiga remaja lelaki yang dilihat berkelakuan mencurigakan di kawasan parkir Masjid An-Nur di sini.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas tiga remaja berusia 13 hingga 15 tahun itu telah menemui wang tunai berjumlah RM1,861, lima kad pengeluaran wang automatik (ATM), seunit komputer tablet dan sekeping kad akses sebuah kawasan perumahan di kawasan berhampiran.  

“Dua daripada mereka didapati masih bersekolah dan ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua mereka adalah negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Menurut Risikin, modus operandi remaja berkenaan adalah menyasarkan kereta para jemaah yang hadir ke surau-surau di sekitar kawasan ini untuk menunaikan solat subuh,

“Soal siasat yang dilakukan mendapati mereka menggunakan ‘spark plug’ untuk memecahkan cermin sisi pemandu sebelum melarikan barangan berharga sewaktu pemilik kereta sedang menunaikan solat subuh.

“Kami percaya telah menyelesaikan sebanyak 13 kejadian pecah cermin kereta di masjid dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek dan kesemua mereka direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN