MELAKA – Lapan individu termasuk empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan dadah.
Perintah reman sehingga 16 Mac itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Melaka, Analia Kamarudin terhadap kesemua suspek berusia antara 27 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan juga sebatan.
Difahamkan, dua anggota polis terbabit bertugas di cawangan pengangkutan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, manakala dua lagi masing-masing di cawangan kereta peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah Kesejahteraan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah serta Balai Polis Bukit Baru, Ayer Keroh.
Empat suspek lain merupakan juruelektrik dan kontraktor syarikat swasta.
Kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di kuarters polis di Ayer Keroh kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
Menurut sumber, pemeriksaan di kediaman tersebut turut menjumpai tujuh paket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.7 gram dan dua botol kaca yang dipercayai diubah suai untuk menghisap dadah.
“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati positif methamphetamine,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perintah reman tersebut. – K! ONLINE











