MELAKA 13 Mac – Polis menahan lapan individu termasuk empat anggota polis bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sini malam tadi.
Serbuan Op Tapis yang dijalankan di sebuah rumah di kuarters polis di Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 7.30 malam.
Menurut jurucakap polis, dalam serbuan itu, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 54 tahun ditahan hasil maklumat awam.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemukan tujuh peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.7 gram dan dua botol kaca yang dipercayai diubah suai untuk menghisap dadah.
“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati mereka positif mengambil dadah jenis methamphetamine,” kata sumber itu.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











