SEREMBAN 1 Mac – Lebih 500 umat Islam berhimpun di pekarangan Masjid Ibnu Khaldun Taman Lavender Heights, Senawang dekat sini selepas solat Jumaat hari ini membantah penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW yang berlaku seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan” sejak akhir-akhir ini.
Para peserta yang terdiri daripada jemaah masjid berkenaan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa bertindak segera mencegah perbuatan itu yang boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.
Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Taman Lavender Heights, Senawang, Mohd. Asna Amin berkata, umat Islam mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa terhadap individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam hantaran di media sosial.
“Namun, dua hari lalu, keluar lagi di media sosial individu yang menghina Rasulullah dan kali ini lebih teruk.
“Kita sedar tidak boleh pukul atau melakukan kekerasan terhadap individu terbabit. Jadi kita luahkan bantahan dan rasa tidak puas hati ini melalui cara ini (berkumpul mengadakan bantahan) supaya mesej dapat disampaikan dengan jelas kepada para pemimpin,” katanya kepada para pemberita selepas perhimpunan bantahan itu.
Mohd. Asna bersama ahli jawatankuasa masjid itu serta wakil NGO berkaitan kemudian menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Balai Polis Paroi, Sarjan Mejar Mohd. Rani Dahlan untuk disampaikan kepada Ketua Polis Negara (KPN).
Beliau memberitahu, memorandum itu merakamkan ucapan terima kasih kepada KPN kerana menjalankan tugas dengan cekap dan menyatakan harapan supaya tangkapan terus dibuat serta merta sekiranya ada lagi individu yang melakukan perbuatan tersebut.
“Jika tidak, demonstrasi akan terus berlaku di masjid seluruh negara oleh umat Islam yang marah dengan perbuatan berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










