`Bila bantu orang, saya rasa dibantu' - Utusan Malaysia

`Bila bantu orang, saya rasa dibantu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI fitrah manusia sukakan kebaikan. Dalam apa sahaja situasi, peribadi optimis akan membawa kepada impak yang positif kepada diri sendiri dan orang lain.

Dalam dunia kemanusiaan, kebaikan itu dapat dinadakan sebagai suka dan rela sehingga wujudnya perkataan sukarelawan. Ia dapat didefinisikan sebagai seseorang individu yang gemar melakukan perkara mahmudah (terpuji) dalam menyantuni manusia di sekitarnya.

MASIH terdapat ramai individu yang kurang berkemampuan memerlukan perhatian masyarakat.
MASIH terdapat ramai individu yang kurang berkemampuan memerlukan perhatian masyarakat. 

Berkongsi pengalaman bergiat aktif sebagai sukarelawan pertubuhan misi kemanusiaan, Islamic Relief Malaysia (IRM), Nur Nabilah Mohd. Yusuf terpanggil untuk mencari erti hidup menerusi aktiviti kesukarelawan kerana berasakan ada sesuatu yang kurang dalam dirinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelajar sarjana dalam bidang Sains Bahan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dia tidak puas sekadar menikmati segala manfaat sendirian tanpa menyumbang bakti kepada komuniti memerlukan.

“Di universiti saya terlampau sibuk dengan pelajaran. Apa yang saya usahakan hanyalah berguna untuk saya sahaja dan tidak dapat dirasai manusia lain. Saya juga tidak nampak di mana sumbangan saya kepada komuniti.

“Walaupun saya merupakan pelajar sarjana, hasil kajian tidak dapat memberi manfaat kepada orang awam secara langsung dalam masa terdekat.

“Atas alasan itu, saya mula mencari aktiviti kesukarelawanan untuk mengisi masa lapang. Saya mengenali IRM menerusi Kursus Induksi Sukarelawan yang dianjurkan di kampus saya. Dengan misi IRM yang turut memartabatkan sukarelawan, saya terus dijemput untuk bersama memeriahkan majlis sebagai sukarelawan menerusi emel yang dihantar,” katanya.

NUR NABILAH MOHD. YUSUF mengagihkan sumbangan kepada kanak-kanak.
NUR NABILAH MOHD. YUSUF mengagihkan sumbangan kepada kanak-kanak. 

Ditanya berhubung definisi kemanusiaan buat dirinya, Nabilah berpendapat, ia membawa makna rasa belas ihsan seseorang individu terhadap manusia lain di sekeliling.

Dengan wujudnya rasa ihsan atau kemanusiaan seolah-olah diri terpanggil untuk memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengenal usia dan bangsa.

“Secara jujurnya, tujuan saya mengaktifkan diri dalam dunia kemanusiaan adalah tidak lain tidak bukan, untuk membersihkan hati saya sendiri. Manusia luar mungkin tak nampak usaha saya untuk menceburi dunia kemanusiaan.

Namun apa yang pasti, mereka tidak tahu pengalaman dalam bidang inilah yang membantu saya untuk bangkit.

“Apa yang saya pelajari, dalam keadaan kita berasakan ujian kita terlalu berat untuk dipikul, sebenarnya ramai lagi saudara kita yang berhadapan dengan pelbagai pancaroba hidup.

“Namun, mereka tidak bermasam muka, malah masih mampu untuk mengukir senyuman tanpa berasa sedikit kekurangan. Di sinilah saya belajar erti syukur atas segala nikmat dunia yang saya peroleh,” ujarnya.

SALAH ANGGAP

Tidak dinafikan masa dan tuntutan kewangan merupakan antara halangan terbesar untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan, namun kerana minat mendorong Nur Nabilah terus aktif berpersatuan.

“Saya pernah terlibat sebagai sukarelawan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Braille anjuran Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia. Secara jujurnya ia membuka mata seluas-luasnya terhadap dunia golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

“Ada satu ketika saya membantu seorang peserta OKU untuk berwuduk. Usai sahaja, peserta itu mengemaskan tudung tanpa memerlukan bantuan suara daripada saya.

Terlintas dalam fikiran saya bahawa meskipun mereka tidak dapat melihat, mereka masih ada keupayaan untuk melakukan sesuatu.

“Ternyata tanggapan saya sebelum ini salah kerana memikirkan mereka tidak berdaya untuk melakukan apa juga perkara dalam keadaan yang kurang sempurna fizikalnya. Pada saya, mereka hanya buta penglihatan, bukan buta perasaan,” jelasnya.

Tegas Nur Nabilah, walaupun golongan OKU sama seperti manusia lain yang ingin disantuni, dunia mereka jauh berbeza. Atas alasan ini, perlulah ada persefahaman antara dua pihak bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Sebagai sukarelawan, wajib untuk kita menyantuni mereka dengan cara lebih baik supaya tidak berasa terpinggir. Contohnya, tanyakan apa yang mereka mahu apabila ingin menghidangkan makanan atau senaraikan semua jenis makanan supaya mereka boleh membuat pilihan sendiri,” kongsinya.

Dalam pada itu, Nur Nabilah turut menegaskan sebagai sukarelawan, tugasnya bukan sahaja menyantuni penerima manfaat, malah turut meliputi kerjasama yang menyeluruh daripada sukarelawan lain bagi memastikan kelancaran program sepenuhnya.

“Saya percaya untuk menjayakan sesebuah program, tenaga dan bantuan sukarelawan juga diperlukan. Saya pernah bekerjasama dengan lebih 30 sukarelawan bagi program World Humanitarian Day tahun lalu hanya melalui aplikasi WhatsApp.

“Ia mungkin nampak remeh kerana kami tidak pernah bersua muka. Namun, atas dasar kemanusiaan dan niat yang murni, kami mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini