Awal, Scha dapat RM345,305 menang kes langgar kontrak minyak wangi - Utusan Malaysia

Awal, Scha dapat RM345,305 menang kes langgar kontrak minyak wangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi memerintahkan Syarikat D’Haja (M) Sdn. Bhd. membayar ganti rugi sebanyak RM345,305 kepada pasangan pelakon dan pengacara, Awal Ashaari dan isterinya, Scha Al-Yahya selepas D’Haja didapati melanggar kontrak berhubung pengedaran minyak wangi keluaran pasangan itu.

Hakim Shamsudin Abdullah membenarkan tuntutan saman itu selepas mendapati D’Haja yang dilantik sebagai pengedar dan penjual ekslusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon selaku defendan telah melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani bersama  pasangan itu.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar faedah sebanyak lima peratus setahun daripada tuntutan saman itu dibuat, ganti rugi am sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM5,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam penghakimannya, Shamsudin berkata, apabila pihak-pihak menandatangani sesuatu perjanjian, mereka telah terikat kepada perjanjian itu tanpa mengambil kira pihak-pihak telah membaca atau tidak dokumen tersebut.

Beliau berkata, salah satu klausa tersebut dengan jelas menerangkan tugas dan tanggungjawab defendan iaitu yang paling nyata bahawa defendan perlu menjaga nama baik dan reputasi plaintif.

“Mahkamah juga berpuas hati melalui imbangan kebarangkalian bahawa syarikat terbabit memungkiri perjanjian apabila gagal dalam tanggungjawab untuk menjaga reputasi Awal,” katanya.

Tambah beliau, daripada keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati defendan telah gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut apabila mengesahkan bahawa mereka tidak memeriksa setiap botol yang diterima dengan antara alasan adalah bukan tanggungjawab mereka termasuk bilangan botol yang banyak.

Katanya, kegagalan itu menyebabkan defendan mengalami kerugian kos pengeluaran, kos pemasaran, kos pelancaran dan kehilangan keuntungan daripada penjualan minyak wangi tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini