NARATHIWAT 2 Mac – Pasukan keselamatan Thailand menembak mati seorang lelaki dalam insiden berbalas tembakan selama 30 minit dengan sekumpulan anggota bersenjata di Kampung Lalok, daerah Rusak, dekat sini, hari ini.
Pihak berkuasa keselamatan menerima maklumat awam tentang kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata bersembunyi di kampung tersebut sejak semalam sebelum lebih 50 anggota tentera berjaya mengepung kawasan itu lewat malam tadi.
Ketua Kompeni Renjer Ke-46, Kolonel Korakod Jarenrid berkata, bagaimanapun, kehadiran pasukan keselamatan itu disedari oleh kumpulan itu pada jam 7 pagi ini sebelum berlaku insiden berbalas tembakan.
Dalam kejadian itu, katanya, suspek Ismail Maweng, 29, dipercayai anggota pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) ditemukan maut oleh selepas insiden berbalas tembakan itu berakhir.
Beliau berkata pihaknya turut menemukan sepucuk raifal M-16 dan bom buatan sendiri di tempat persembunyian kumpulan itu yang terletak dua jam perjalanan kaki dari jalan utama.
Beliau berkata tiada anggota pasukan keselamatan cedera dalam kejadian itu dan usaha memburu saki baki anggota kumpulan itu yang dipercayai mengalami kecederaan diteruskan.- BERNAMA










