HULU LANGAT 2 Mac – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali akur dengan kekalahannya kepada calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi.
Aiman menganggap kekalahan itu sebagai bukan rezeki beliau ekoran gagal mempertahankan kerusi yang pernah disandang oleh arwah bapa mentuanya.
“Ini bukan rezeki saya. Tidak apalah, yang pasti semangat juang saya masih sama. Saya tidak akan ke mana-mana sebaliknya akan terus aktif berpolitik,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan PRK DUN Semenyih malam ini.
Aiman yang mendapat 17,866 undi tewas kepada Zakaria yang mendapat 19,780 undi manakala dua lagi calon iaitu dari PSM, Nik Aziz Afiq mendapat 845 undi sementara Uncle Kentang atau Kuan Chee Heng hanya mendapat 725 undi.
Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi.
Menurut Aiman, beliau telah menjanjikan pelbagai perkara untuk pengundi DUN Semenyih termasuk impian membina hospital.
Mengenai statusnya selepas ini, Aiman berkata, beliau akan terus berkhidmat di Semenyih.
“Tempat tinggal sendiri masih lagi sama, saya masih penduduk di sini.
“Kalah atau menang, saya akan terus berjuang dan menguatkan diri serta parti di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










