KUALA LUMPUR 1 Mac – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Afghanistan akan menggantikan Kepulauan Solomon dalam Piala Airmarine yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 20 hingga 23 Mac ini.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, Kepulauan Solomon terpaksa menarik diri selepas mereka terlepas pandang tarikh aksi persahabatan menentang Taiwan pada 24 Mac ini yang telah dipersetujui lebih awal, sehari selepas kejohanan berlangsung.
“Persekutuan Bola Sepak Kepulauan Solomon (SIFF) menerusi ketua pegawai eksekutifnya, Leonard Paia memberitahu yang pihaknya telah pun mendapatkan kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) bagi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Taiwan.
“Perkara itu membuatkan mereka tidak dapat menyertai Piala Airmarine yang memerlukan dua perlawanan untuk dihadapi iaitu pada 20 dan 23 Mac ini.
“Selepas menerima perkhabaran daripada SIFF itu, FAM telah mengambil langkah segera dengan menghubungi beberapa negara berpotensi bagi menawarkan tempat untuk mereka menggantikan slot yang dikosongkan oleh Kepulauan Solomon dan akhirnya Afghanistan telah tampil memberikan pengesahan rasmi, hari ini untuk menyertai Piala Airmarine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Itu bermakna, empat negara yang akan bertanding dalam Piala Airmarine adalah Malaysia, Singapura, Oman dan Afghanistan dan Kevin berkata ketiadaan Kepulauan Solomon tidak memberi impak kepada kejohanan tersebut.
“Ketiadaan Kepulauan Solomon tidak akan menjejaskan Piala Airmarine kerana dari segi kualiti pasukan, kedudukan Afghanistan dalam ranking FIFA adalah lebih kurang sama dengan kedudukan Kepulauan Solomon,” katanya.
Keempat-empat pasukan tersebut akan diundi pada Isnin ini bagi menentukan lawan masing-masing untuk aksi separuh akhir Piala Airmarine yang diadakan pada 20 Mac ini.
Pemenang akan bertemu dalam aksi final pada 23 Mac ini manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir itu akan bertembung untuk perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada hari yang sama. – UTUSAN ONLINE










