IPOH 3 Mac – Seramai 624 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di negeri ini memperoleh gred cemerlang iaitu A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Rosli Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, seramai enam calon cemerlang dalam 12 mata pelajaran, 102 calon (11 mata pelajaran), 262 calon (10 mata pelajaran), 241 calon (9 mata pelajaran) dan 13 calon bagi lapan mata pelajaran.
Beliau bagaimanapun berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 734 orang.
“Indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan SPM tahun lalu ialah 5.01 berbanding 4.98 pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.03 mata.
“Jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar juga menunjukkan penurunan sebanyak 0.02 mata GPN iaitu 0.43 pada tahun lalu berbanding 0.45 pada tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Seri Budi, Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari. – UTUSAN ONLINE










