RAUB 11 Mac – Seramai 2,220 calon negeri ini atau 99.60 peratus mendapat kelulusan penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Zaimi Abu Bakar berkata, pencapaian calon bagi negeri ini mengatasi pencapaian penuh peringkat nasional iaitu 98.87 peratus.
Katanya, calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran ialah 0.40 peratus atau bersamaan sembilan orang dan 1,770 calon (79.41 peratus) memperoleh lulus penuh 4A.
“Peratus yang memperoleh lulus penuh empat prinsipal menunjukkan peningkatan sebanyak 0.65 peratus berbanding dengan pencapaian 78.76 peratus pada 2017.
“Daripada 21 mata pelajaran yang diduduki calon negeri ini, sebanyak 16 mata pelajaran menunjukkan pencapaian nasional antaranya Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah, Usuluddin, Sejarah, Geografi, Sains Sukan, Bahasa Cina dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2018 Sekolah-sekolah Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di sini hari ini.
Menurut Zaimi, seramai 1,125 calon atau 50.47 peratus berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sekurang-kurangnya 3.00 mata.
Pencapaian itu, katanya, menunjukkan prestasi lebih baik berbanding 50.24 peratus pada 2017 iaitu peningkatan sebanyak 0.23 peratus.
Beliau menambah, prestasi membanggakan juga telah dicapai calon STPM 2018 negeri ini dengan seramai 42 calon atau 1.88 peratus memperoleh keputusan tertinggi PNGK 4.0 meningkat sebanyak 0.26 peratus berbanding STPM 2017.
“Calon terbaik STPM 2018 bagi Pahang ialah M. Punniatarishi dari SMK Mahmud di sini dan salah seorang penerima Anugerah Calon Terbaik STPM 2018 Majlis Peperiksaan Malaysia,” katanya.











