KOTA BHARU 15 Mac. – Jabatan Bomba dan Penyelamat menghantar seramai 133 anggota dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) untuk memantau dan membantu membersihkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sejak 7 Mac lalu.
Pasukan itu diketuai oleh Pengarah Bomba Johor, Datuk Yayha Madis.
Ketua Pengarah Bomba , Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, anggota terbabit dibawa khas dari seluruh semenanjung dalam usaha menangani pencemaran itu.
“Di sana ada dua pusat pengurusan bencana diwujudkan iaitu Pos Kawalan(PK) di lokasi bencana dan satu Pos Kawasan Operasi Bencana (PKOB) yang terletak beberapa kilometer daripada lokasi kejadian.
“Saya harap semuanya terkawal dan isu ini akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media dalam Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JPBM Negeri Kelantan di Hotel Perdana, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood dan Timbalan Pengarah Bomba Negeri, Anwar Abu Bakar.
Dalam majlis itu, seramai 50 anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 12 anggota menerima Pingat Kebesaran Jabatan. – UTUSAN ONLINE











