WASHINGTON 14 Feb. – Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi menggesa campur tangan Washington bagi menghentikan penganiayaan ke atas etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China.
Agensi berita Radio Free Asia melaporkan, Pelosi ketika berucap dalam majlis memperingati Dalai Lama memberitahu, pihaknya telah berbincang dengan Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan menggesa beliau untuk membawa isu tersebut kepada pihak tertinggi.
“Sewaktu sesi doa sarapan pagi, Presiden AS, Donald Trump ketika berucap menyentuh tentang kebebasan agama dan beliau menerima tepukan gemuruh atas ucapannya itu.
“Tidak lama selepas itu, saya bertemu Pompeo dan menyoal mengapa isu etnik Uighur tidak pernah dibincangkan,” katanya.

Pompeo menerima baik cadangan Pelosi dan bercadang untuk mengetengahkan isu tersebut.
Tegas Pelosi, situasi penahanan hampir sejuta etnik Uighur kerana dituduh menyebar amalan keagamaan dan politik menyamai dengan tindakan pemerintahan Tibet yang melakukan penindasan agama berdekad lamanya.
“Apa yang berlaku di Tibet kini terjadi kepada etnik Uighur. Perkara ini harus diberi perhatian sewajarnya.
“Hampir sejuta (Uighur) ditahan di kem tahanan untuk satu tujuan, asimilasi. Mereka ingin hapuskan budaya dan agama individu di sana,” katanya.
Menurut Pelosi, Washington perlu mengetengahkan isu tersebut dan mana-mana isu penindasan agama dengan Beijing.
“Jika kita tidak membawa isu ini kepada Beijing, kita kehilangan nilai moral dan tidak layak bercakap tentang hak asasi manusia,” tambahnya.
Pelosi mengeluarkan kenyataan itu pada hari yang sama Washington Post menerbitkan analisis menggesa komuniti antarabangsa membantah pemerasan dan penahanan etnik Uighur dan penganut Islam lain di China.










