Dua beradik kongsi buah pinggang

Dua beradik kongsi buah pinggang

WAN Nadzirah W. Pauzi (kiri) menjalani kehidupan baharu selepas menerima sebelah buah pinggang daripada Wan Nurhidayah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengorbanan seorang kakak mendermakan sebelah buah pinggang kepada adiknya tiga tahun lalu bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah menjadi lambang kasih sayang yang mengembalikan sinar baharu kepada seluruh keluarga.

Wan Nadzirah W. Pauzi, 39, dari Kampung Padang Midin di sini berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas menerima buah pinggang daripada kakak keduanya, Wan Nurhidayah, 44, pada 22 Jun 2023.

Menurut doktor gigi itu, selepas bertahun-tahun bergantung kepada rawatan hemodialisis akibat kegagalan buah pinggang tahap empat, dia kini dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.

“22 Jun lalu genap tiga tahun saya menerima buah pinggang daripada kakak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Peluang kedua diberikan Allah SWT itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menjaga kesihatan, mematuhi jadual pemeriksaan susulan dan mengambil ubat secara berdisip­lin.

Keadaan kesihatannya kini jauh lebih baik sehingga mampu bekerja dan menjalani aktiviti harian dengan lebih berkualiti.

“Yang paling saya syukuri ialah tidak lagi perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu. Nikmat ini terlalu besar dan tidak akan saya sia-siakan.

“Saya berharap kisah keluarga kami menjadi inspirasi kepada masyarakat mengenai besarnya nilai pendermaan organ kerana ia bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukannya,” katanya.

Sementara itu, Wan Nurhidayah atau lebih mesra dipanggil Kak Ida berkata, dia sebenarnya bukan individu pertama yang menawarkan diri sebagai penderma kepada adiknya.

Menurutnya, adik lelaki mereka, Wan Mohd. Arif terlebih dahulu menyatakan kesanggupan mendermakan buah pinggang, namun hasrat itu tidak dapat diteruskan selepas pemeriksaan kesihatan mendapati tidak layak jadi penderma.

“Rupa-rupanya Allah SWT memilih saya untuk menggalas amanah itu. Alhamdulillah, sudah tiga tahun berlalu dan kami masing-masing menjalani kehidupan dengan baik.

“Syukur buah pinggang saya serasi dengan adik. Melihat dia kembali ceria dan mampu bekerja seperti biasa merupakan kebahagiaan terbesar buat keluarga kami,” katanya.

Ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata, keputusan mendermakan buah pinggang turut didorong arwah suaminya yang banyak berkongsi pengetahuan mengenai pendermaan organ.

“Arwah membuka mata saya mengenai pendermaan organ sehingga saya terbuka hati melakukannya. Sebagai adik-beradik, ini hadiah kasih sayang yang sukar diungkapkan dengan kata-kata,” katanya yang berharap lebih ramai rakyat Malaysia tampil mendaftarkan diri sebagai penderma organ kerana satu keputusan itu mampu mengubah dan menyelamatkan kehidupan insan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN