PETALING JAYA: Pelbagai analisis yang dibuat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar dilihat sebagai pandangan akademik dan bukannya gambaran muktamad terhadap sokongan pengundi.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, terdapat juga analisis yang dibuat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan mendapati gabungan itu berada dalam keadaan baik dan diterima rakyat.
Beliau sekali gus menolak dakwaan PH berdepan kelemahan susulan kononnya tidak mempunyai naratif kempen yang jelas.

“Analisis ini ramai orang buat. Ada yang kata PH sekarang sedang ke hadapan dah sudah menguasai undi. Bagi saya, itu satu analisis yang kita nilai secara akademik.
“Contohnya, apabila ada yang mengatakan PH tiada naratif. Macam mana boleh kata PH tiada naratif? Naratif kita sangat jelas kemenangan PH di Johor ini akan memberi kekuatan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Hubungan Kerajaan Negeri Johor dengan Kerajaan Persekutuan perlu diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan. PH juga konsisten membawa agenda perpaduan dengan menolak politik berasaskan kebencian dan perkauman,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming daripada DAP yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan mencatat kemenangan besar pada PRN Johor dengan dijangka memenangi sehingga 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kian Ming turut berpandangan prospek PH dilihat lemah berikutan ketiadaan naratif kempen yang mantap, kegagalan menamakan calon Menteri Besar, kekurangan pemimpin kanan bertanding serta kelewatan melancarkan manifesto.
Mengulas kritikan PH belum menamakan calon Menteri Besar, Mujahid berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pelantikan Menteri Besar adalah di bawah bidang kuasa Sultan Johor selaras Perlembagaan. – UTUSAN










