Cabaran warga Felda bukan sekadar bantuan kewangan - Utusan Malaysia

Cabaran warga Felda bukan sekadar bantuan kewangan

AHMAD FAIZAL SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Di sebalik kegembiraan pengumuman tujuh insentif khas melibatkan peruntukan hampir RM2 bilion, realiti di peringkat akar umbi menunjukkan bahawa cabaran sebenar yang dihadapi warga Felda ketika ini, melangkaui bantuan kewangan semata-mata.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Kebangsaan, Ahmad Faizal Sulaiman berkata, beberapa insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menyentuh isu utama seperti beban hutang peneroka dan pembangunan perumahan generasi baharu di tanah rancangan.

Namun, katanya, isu kos sara hidup yang semakin menghimpit, ketiadaan peluang pekerjaan berkualiti untuk generasi kedua dan ketiga, unjuran pendapatan peneroka yang tidak konsisten serta akses kepada pemilikan rumah yang masih terhad, kekal menjadi ‘duri dalam daging’ yang memerlukan formula penyelesaian menyeluruh serta berterusan.

“Oleh itu, insentif yang diumumkan wajar dilihat sebagai permulaan kepada agenda pemerkasaan Felda yang lebih besar, bukannya penyelesaian muktamad kepada semua isu yang dihadapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sempena Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak Jengka kelmarin, Anwar mengumumkan tujuh insentif khas melibatkan peruntukan hampir RM2 bilion termasuk geran penghapusan hutang peneroka, pembinaan perumahan generasi kedua, pendidikan, kesihatan dan literasi digital.

Ahmad Faizal berkata, beberapa isu masih memerlukan perhatian serius pihak berwajib antaranya peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi untuk generasi kedua dan ketiga Felda.

“Turut perlu diberikan perhatian isu pemilikan rumah yang mampu milik dan pelaksanaan projek perumahan yang lebih cepat serta pendapatan peneroka yang masih bergantung kepada harga komoditi dunia.

“Perlu juga dilihat isu pewarisan tanah dan penyelesaian isu hak milik yang masih berlarutan di beberapa rancangan serta pembangunan ekonomi baharu melalui keusahawanan, industri hiliran, ekonomi digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ini supaya warga Felda tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan. Tabung Usahawan Belia Felda juga masih tiada jawapan untuk diteruskan,” katanya.

Menurutnya, MBFM mengalu-alukan cadangan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kerana ia berpotensi menyelesaikan isu penempatan generasi baharu.

Namun, beliau berkata, pelaksanaannya perlu disertai garis panduan yang jelas dan tidak membebankan peneroka.

Mengulas tentang penghapusan hutang, beliau berkata, pengumuman itu memberi kelegaan besar kepada peneroka, khususnya mereka yang sudah lama menanggung komitmen kewangan dan bergelut dengan turun naik harga komoditi.

“Langkah ini bukan sahaja membantu meningkatkan aliran tunai isi rumah, malah memberi ruang kepada peneroka untuk menumpukan kepada peningkatan produktiviti kebun serta kesejahteraan keluarga.

“Penghapusan hutang perlu disusuli dengan usaha meningkatkan pendapatan peneroka secara mampan. Tanpa peningkatan hasil dan produktiviti, risiko tekanan kewangan akan terus berulang pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN