[VIDEO] Empat tahanan Malaysia di Kemboja selamat tiba di KLIA2 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Empat tahanan Malaysia di Kemboja selamat tiba di KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Empat daripada 47 tahanan rakyat Malaysia di Kemboja yang telah dibebaskan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini kira-kira pukul 11.29 pagi tadi.

Mereka tiba dengan menaiki pesawat Air Asia dan disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Selain empat individu itu, 40 orang daripada mereka yang dibebaskan berasal dari Sarawak manakala tiga dari Sabah dan dijangka tiba di Kuching, Sarawak petang ini.

Menceritakan detik hitam di Siem Reap, Kemboja, salah seorang tahanan, Muhamad Daud Sharuddin, 23, berkata, sewaktu menjejakkan kaki ke negara itu Oktober lalu, dia dan rakyat Malaysia yang lain telah dikurung di dalam sebuah rumah banglo tiga tingkat.

kemboja
Muhammad Shahrul (kiri) menyambut ketibaan empat rakyat Malaysia yang dibebas daripada tahanan di Kemboja di KLIA2 hari ini.

 

Jelasnya, pasport dan telefon bimbitnya juga dirampas oleh ejen yang menjanjikan kesemua mereka pekerjaan di negara tersebut.

“Saya dijanjikan dengan pekerjaan sebagai pelayan hotel dengan pendapatan sebanyak AS$1,200 (RM4,901) tapi, sebaliknya kami dikurung di sana selama dua bulan.

“Ada antara kami yang cuba melarikan diri namun, tidak berjaya. Selepas hampir dua bulan dikurung, kami amat bernasib baik kerana polis membuat serbuan di rumah itu dan dibawa ke lokap sebelum ditahan di penjara,” katanya.

Selain Muhammad Daud, tiga lagi rakyat Malaysia termasuk seorang wanita iaitu Yeam Yoke Foong, 26, Yap Yu Xiang, 25 dan Ng Shing Long, 27 tiba dengan menaiki pesawat sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN