KUALA LUMPUR 27 Feb. – Sebanyak 309 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu di hentian bas Kota Raya, di sini hari ini.
Video oleh AZRUL RADI
Operasi bersepadu siri ke enam yang bermula pukul 9 pagi itu melibatkan 13 pegawai dan 153 anggota dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama sembilan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada 309 yang ditahan, 290 adalah lelaki dan selebihnya wanita.
“Kita sudah melakukan operasi sejak Januari tahun ini dan sehingga kini, jumlah keseluruhan PATI yang telah ditahan ialah sebanyak 956 iaitu 896 lelaki dan 60 orang wanita.
“Operasi berterusan akan terua dijalankan bagi memastikan ibu negara berada dalam keadaan aman sejahtera serta mengelak berlakunya kejadian jenayah,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi di hentian bas Kota Raya, di sini hari ini.
Menurut Mazlan, jumlah tertinggi tangkapan setakat ini melibatkan warganegara Bangladesh iaitu sebanyak 474, Myanmar (176), Indonesia (158), India (61), Nepal (44), India (61), Pakistan (27) dan Filipina sebanyak enam orang.
Jelasnya, kesemua yang ditahan akan dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang, Dang Wangi dan Cheras, di sini untuk pemeriksaan dokumen termasuk passport perjalanan dan permit kerja. – UTUSAN ONLINE











