Universiti Limkokwing tawar kursus perfileman - Utusan Malaysia

Universiti Limkokwing tawar kursus perfileman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 28 Feb.- Akademi Filem Universiti Limkokwing mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus mendalami industri perfileman di universiti berkenaan.

Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, kursus itu ditawarkan untuk jangka pendek dan panjang. 

Beliau berkata, tempoh bagi kursus jangka panjang adalah selama dua tahun dengan pelajar akan mendapat Sijil Akademi Filem setaraf Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Bagi jangka pendek, terdapat dua pilihan iaitu bengkel intensif selama dua hari dan kursus selama tiga bulan. Pilihan ini lebih kepada mereka yang telah aktif dalam industri perfileman.

“Kami menawarkan kursus ini bagi memperhebatkan lagi industri perfileman, ia meliputi pelbagai aspek termasuk ilmu belakang tabir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Raja Aznil, bagi memperhebatkan penawaran kursus dalam bidang itu, universiti berkenaan melalui Yayasan Limkokwing turut menawarkan 100 biasiswa kepada mereka yang layak.

Selain itu katanya, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 1,000 tenaga kerja yang berpengalaman dalam industri itu sekali gus dapat menampung permintaan dalam bidang itu di negara ini.

“Kemahiran yang dikehendaki dalam dunia perfileman adalah luas, banyak selok-belok yang perlu dipelajari. Kursus yang ditawarkan ini adalah peluang terbaik bagi mereka yang mahu mendalaminya.

“Bagi yuran pengajian untuk kursus ini, mereka boleh membuat pinjaman melalui beberapa institusi selain tajaan biasiswa. Untuk kursus jangka panjang yuran dianggarkan sebanyak RM10,000,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN