SUNGAI PETANI 6 Feb. – Seekor ular sawa batik yang dalam keadaan kekenyangan setelah menelan dua ekor ayam bagi projek ternakan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir Kecil, Jalan Kuala Ketil di sini, berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) semalam.

Pegawai APM Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran ular itu daripada guru sekolah, Hanif Hambali, pada pukul 9.20 pagi, lalu bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan ular tersebut sepanjang dua meter dan seberat tujuh kilogram, di dalam sebuah reban.
“Pasukan APM diketuai oleh Sarjan (PA) Y. Visvanathan tiba di lokasi pukul 9.50 pagi dan kita dapati ular sawa berkenaan telah pun menelan dua ekor kampung.
“Anggota APM, terdiri Lans Koperal (PA) Ahmad Shahrani Mohamed Arif, Lans Koperal (PA) Mona Rafielida Mansor dan Prebet (PA) Muhd. Zikry Zafuan mengambil masa 25 minit bagi menangkap ular sawa berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua ayam tersebut merupakan projek ternakan ayam kampung SK Sungai Pasir Kecil. – UTUSAN ONLINE









