KAMPAR – Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah masuk dua bilik sewa pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dua minggu lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, M. Devaraj, 21; Tow Chee Yeoung, 22, dan seorang lagi rakan mereka berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan pecah masuk bilik sewa untuk mencuri sebuah beg, tablet jenama Teclast (1), jam tangan jenama G-Shock (2), cermin mata (2), pengering rambut (1), pemutar skru (2), dapur elektrik (1) dan seutas gelang tangan milik Mak Shu Zen, 19.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bilik sewa mangsa di Jalan Kampar Barat 3, Taman Kampar Barat di sini antara pukul 9.30 malam hingga 10 malam 8 Februari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan pecah bilik sewa untuk mencuri sebuah beg pakaian, satu bekas peralatan alat tulis dan sebuah beg yang mengandungi dua raket badminton kepunyaan Lew Qing Xiang, 21, di biliknya di Pusat Perdagangan, Jalan Kampar Barat 3, Taman Kampar Barat di sini pada pukul 10 malam hari sama.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norashikin Hassanor manakala semua tertuduh diwakili peguam bela, Sukhdave Singh dan Kashvinder Singh.
Nur Faizah membenarkan Devaraj dan Chee Yeoung masing-masing diikat jamin berjumlah RM11,400 dan RM7,600 dengan seorang penjamin manakala rakannya berusia 17 tahun dibenarkan jaminan berjumlah RM5,400 dengan seorang penjamin.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun masih belum membayar wang jaminan berkenaan.
Mahkamah menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE











