LONDON 20 Feb. – Jurulatih kelahiran Itali, Maurizio Sarri dikatakan semakin hampir untuk disingkir dari Stamford Bridge ekoran prestasi buruk yang menimpa Chelsea.
Menurut media Britain, Sarri akan ditukar dengan pengurus sementara jika prestasi pasukannya masih tidak meyakinkan dalam tiga perlawanan berikutnya.
Blues akan menentang Malmao pada Jumaat ini (Liga Europa), sebelum bertemu Manchester City pada Isnin (final Piala Liga), diikuti Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris pada 28 Februari.
Semalam, Chelsea terus dirundung malang apabila tewas 0-2 kepada Manchester United pada pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge. Kekalahan itu hadir kurang dua minggu selepas mereka diaibkan 6-0 oleh City dalam saingan Liga Perdana.
Pembantu Sarri, Gianfranco Zola atau Eddie Newton disebut-sebut sebagai calon pengurus sementara jika Chelsea bertindak memecat bekas pengendali Napoli itu.
Newton pernah melatih pasukan utama dalam tempoh sementara sebelum Antonio Conte meninggalkan Chelsea untuk diganti dengan Sarri, Jun lalu.
Legenda Chelsea yang juga pengurus Derby County, Frank Lampard turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.
Sementara itu, Sarri mengakui, kemenangan adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan kedudukannya, selain mengembalikan keyakinan penyokong.
“Saya perlu mempunyai pemikiran yang saya akan menjadi pengurus Chelsea untuk tempoh yang panjang atau saya tidak boleh memberikan fokus kepada kerja.
“Kami perlu menang tiga atau empat perlawanan berturut-turut. Itu satu-satunya penyelesaian kepada isu ini,” kata Sarri kepada BBC Sport. – AGENSI










