Tekad bangkit di Ipoh - Utusan Malaysia

Tekad bangkit di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMEROSOTAN prestasi yang dialami beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sejak kebelakangan ini menyaksikan kedudukan mereka dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terus menjunam.

Justeru, Pei Jing berharap dia mampu menjadikan Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung di Ipoh, Perak sejak semalam sebagai medan terbaik untuk melakukan kebangkitan serta mengembalikan keyakinan.

Meskipun tidak akan bergandi­ngan dengan Kian Meng, namun Pei Jing melaungkan keyakinan apabila meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir bersama pemain muda, Chen Tang Jie.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kejohanan ini, kebanyakan pemain beregu campuran akan bertukar gandingan tetapi ia bukan satu masalah untuk kami kerana sering jalani latihan bersama. Saya sentiasa terbuka untuk bergandi­ngan dengan sesiapa pun.

“Walaupun tidak bergandingan dengan Kian Meng, namun saya ada sasaran sendiri pada kejohanan ini. Saya percaya gandingan bersama Tang Jie boleh bawa kami mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Dalam pada itu, Pei Jing juga me­ngakui bekas rakan sepasukan yang juga beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebagai pencabar utama selain percaya beregu-beregu lain juga mampu melakar kejutan.

“Sudah pasti pencabar utama pada kejohanan ini adalah Peng Soon-Liu Ying berdasarkan reputasi serta pengalaman yang mereka miliki. Bagaimanapun, cabaran pemain-pemain lain juga tidak boleh dipandang rendah kerana apa sahaja boleh berlaku.

“Apa yang penting bagi saya sekarang adalah untuk bina kembali keyakinan dengan memenangi perlawanan. Selepas itu, barulah saya akan berikan fokus terhadap kejohanan akan datang bagi menaikkan ranking yang semakin jatuh,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, pemain berusia 27 tahun itu meletakkan sasaran untuk kembali me­nempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik dunia menjelang akhir 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×