ALOR GAJAH 28 Feb. – Seorang warga asing yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo dekat sini meloloskan diri ketika menerima rawatan di pusat tahanan tersebut pagi semalam.

Suspek, Muhammad Reza Pahlevi merupakan warga Indonesia melarikan diri dengan memanjat bilik rawatan dan keluar melalui lubang angin bilik itu dengan tangan tidak bergari.
Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku antara pukul 9.30 hingga 10.25 pagi ketika suspek dibawa bersama 97 tahanan iaitu 60 lelaki dan 37 wanita dari pusat tahanan itu untuk tujuan pengusiran.
“Bagaimanapun suspek yang melarikan diri itu merupakan satu-satu tahanan yang sepatutnya dibawa ke Johor Bahru, Johor untuk menghadapi dua pertuduhan kes samun bersenjata yang dilakukannya pada tahun 2016.
“Sewaktu diiringi oleh pegawai Imigresen dari blok tahanan dengan tangan bergari, suspek mengadu sesak nafas dan riak wajahnya pucat dan lemah menyebabkan dia terpaksa dibawa ke bilik rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Asmadi, suspek yang berada dalam bilik pemeriksaan disedari melarikan diri selepas salah seorang pegawai Imigresen wanita menjerit.
Katanya, suspek dilihat melarikan diri menghala ke belakang bangunan dan memanjat pagar lalu lari ke arah kebun kelapa sawit.
“Maklumat terakhir diperolehi bahawa suspek telah menaiki teksi menghala ke Melaka Sentral dan pemandu teksi memaklumkan suspek ingin pergi ke Muar atau Pasir Gudang,” katanya sambil memberitahu gerakan mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang ketika itu memakai baju putih dan berseluar pendek agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN ONLINE











