KUALA LUMPUR 18 Feb. – Tidak ada guna Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) ditubuhkan sekiranya ia tidak mampu mengangkat kadar kemampuan (istito’ah) pendeposit untuk menunaikan ibadah haji.
Ahli Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohd. Hazizi Ab. Rahman berkata, membangkitkan soal istito’ah sebagai justifikasi pemansuhan subsidi bagi pengiring jemaah haji dan kes rayuan yang berjaya adalah tidak relevan.
“Soal kemampuan ini, semua orang tahu ia satu syarat untuk mengerjakan haji. Sebab itulah Tabung Haji ditubuhkan, untuk meningkatkan (kadar) kemampuan orang untuk menunaikan haji.
“Daripada (dahulu) orang kumpul duit sendiri, Tabung Haji kumpulkan duit orang ramai lalu membuat pelaburan yang selamat untuk membantu berikan subsidi untuk menunaikan haji. Itu yang dimaksudkan dengan meningkatkan kadar kemampuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah beliau, pemansuhan subsidi untuk pengiring jemaah adalah tidak wajar kerana ia secara nyata membebankan bukan sahaja pengiring, malah jemaah yang menerima subsidi tersebut.
Menurut beliau, pengiring diperlukan untuk jemaah yang tidak mampu menunaikan haji secara bersendirian. Jika pengiringnya tidak mampu untuk menunaikan haji disebabkan tiada subsidi, maka tidak ada guna Tabung Haji memberikan subsidi kepada jemaah tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, tidak timbul isu Tabung Haji dilanda bebanan kewangan sehingga tidak mampu memberikan subsidi kepada pengiring jemaah dan kes rayuan yang berjaya.
Ini kerana, menurut beliau, melalui modal yang besar hasil deposit orang ramai, Tabung Haji boleh mendapat keuntungan menerusi pelaburan selamat yang dilakukan.









