Suspek kes samun dalam lif direman seminggu - Utusan Malaysia

Suspek kes samun dalam lif direman seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Suspek kes samun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita di dalam lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras pada Khamis lalu direman selama seminggu bermula hari ini.

Permohonan reman tersebut dilakukan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammed Mokhsein Mohammed Zon berkata, reman tersebut bermula pada hari ini hingga 25 Februari depan.

“Suspek direman bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun berjaya ditahan polis di rumahnya di Taman Cheras di sini pada pukul 8.10 malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu pada Jumaat lalu, mangsa seorang wanita berusia 48 tahun, diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.

Kejadian dirakamkan televisyen litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan yang menjadi tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa yang menaiki lif seorang diri dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN